Friday, September 29, 2006

Semalaman aku berfikir.. mengimbas kembali apa yang telah dia lafazkan kepadaku. Aku cuba menenangkan fikiran dan menganalisasi situasi semalam dengan fikiran yang lebih terbuka. Hampir dua jam fikiranku berkecamuk.. Namun, aku masih belum dapat huraian yang aku inginkan.

Aku tidak menafikan kenyataan bahawa dalam setiap hubungan baru yang dijalin, acapkali kita tergelincir membuat perbandingan pasangan baru itu dengan pasangan kita yang lama. Pertikaian dalam pelbagai macam perkara.. sama ada dari segi wajah, sifat, keserasian dan sebagainya.

Namun adakah wajar jika kehadiran insan baru ini disamakan dengan kemesraan bersama insan yang terdahulu?

Mungkin ada yang berpendapat memang lumrah manusia untuk menghakimi dan banding-membandingkan semua perkara yang berlaku dalam hidup kita. Namun aku pasti jika kita dimangsakan atas timbang bandingan itu, sudah tentu rasanya sungguh menyakitkan. Kerana pada hakikatnya, manusia tidak gemar sekali jika ditanding atau ditara dengan orang lain.

Nilai keistimewaan seseorang itu (termasuk diri kita sendiri) adalah ekslusif dan tidak bertindih.

Setiap lembaran baru yang diambil harus dilicinkan dengan pelincir yang baru juga. Setiap tindakan yang dibalas berinteraksi dengan orang baru harus disesuaikan dengan tindak balas matang dan tidak prejudis. Aku sedar, ingatan orang lama pasti ada ketika kita bersama orang baru, namun tidak wajar sama sekali jika dibuat perbandingan. Kerana segala perbandingan yang dibuat jauh dari kewajaran etika, malah ia tidak adil. Bukan penghakiman pasangan kita yang lepas, tetapi terhadap insan yang sedang kita cintai sekarang ini.

Persamaan dan perbezaan kita pasti jelas timbul dan tidak sekata. Bukankah itu juga yang membezakan kita dengan manusia lain?

Cubalah fikir. Wajar atau tidak perbandingan ini? Jika wajar, adakah ia saksama?


Terima kasih bantal.. atas kesudianmu menemani diri ini. :)