Tuesday, February 06, 2007

~ Dia insan mulia, seorang juara dikagumi semua.. Sedangkan aku insan biasa, pengembara di bumi sementara. Layakkah diri ini menaruh hati terhadapnya? ~


Pada suatu ketika pintu hatiku terkatup dan terpateri rapat untuk istilah cinta Laila dan Majnun. Bagiku tidak ada cinta semurni Allah kepada hambanya. Rahmat dan kasihnya tetap mencurah walaupun hambanya ingkar dalam melaksanakan seruannya. Juga tidak terdapat cinta yang seutuh cinta ibu kepada anaknya, biarpun anaknya tidak pernah mengenang budi namun cinta tetap kukuh dan tidak mudah digoyah.

Aku yakin, cinta berlandaskan kecantikan akan pudar dimamah usia. Cinta berteraskan pangkat dan darjat akan hanyut bersama hilangnya kedudukan dan cinta bersemadikan budi akan mati bersama terkuburnya jasad. Berdasarkan keyakinan ini, aku tidak pernah cuba mendekati cinta yang palsu. Kini usiaku mencecah angka 22 namun lambaian cinta palsu tidak pernah dilayan. Aku bimbang tertipu kerananya, aku tak tahan menanggung rasa. Jadi sebelum ia terjadi aku perlu menghindarinya.

Tetapi sejak kebelakangan ini.. pintu hatiku mula diketuk seorang insan. Hatiku yang dahulunya keras, kini bagaikan nak cair. Lambaian cinta terus melambai-lambai memanggilku. Dan aku tahu pencurinya!

Hampir satu tahun yang lalu aku diketemukan dia. Pada titik pertemuan tiada perasaan apa-apa.. tidak ada getar sedikit pun di hati untuk membuat aku memikirkanya. Mungkin pada masa itu aku sekadar menganggap dirinya sebagai idola silat yang disegani ramai. Namun, lama-kelamaan hatiku mula dikuasai oleh daya tarikkan yang natural, sikapnya, tutur kata, kebaikan hati, keramahan, perhatiannya semasa melatih kami dan sifat kesederhanaannya. Tawanya yang renyah dan cara bicaranya yang lucu menyapa kebisuan dan menghibur jiwaku. Juga tidak akan luput dari ingatan saat dia menghulurkan tangannya kepadaku dengan senyum manisnya terpancar dari bibir nan indah dan sinar matanya tertumpu ke arahku. Aku sangkakan kelakuannya itu sekadar untuk memberi tepukan "high five" kepadaku.. namun tanpa ku duga, sebaik sahaja telapak tangan sampai ke tangannya, jari-jemarinya terus menggenggam erat tanganku sambil melafazkan kata-kata perangsang sebelum aku masuk bertanding. Haiz.. Lututku hampir lemah.

Semenjak hari itu, jujur aku katakan bahawa hati sudah tertaut padanya. Wajah dan senyumnya kini menyapa dan temani penelusuranku. Apabila biji mataku bertembung dengan anak matanya, aku seringkali tewas, dan terus memandang lantai. Namun, akan kusimpan rasa kasih ini dalam-dalam kerana kuyakin perasaan ini akan menjadi jahid yang tinggi nilainya di sisi seorang muslimah. Itu janji Tuhan buat insan bergelar perempuan dan aku tidak mahu ketinggalan merasai ganjaran itu walau aku akur, bukan mudah untuk menolak keinginan berterus-terang.

Ada suatu ketika dia duduk benar-benar berhampiran denganku.. sesekali terdetik perasaan untuk aku memulakan perbualan dengannya.. namun imanku menepis rasa di hati dengan istighfarku kepada Allah. Terkadang, apabila berselisih dengannya, jantungku berdegup kencang. Ingin saja aku melemparkan senyuman yang paling manis buat insan yang telah menambat hati dan mewarnai hidup ini.. namun maluku mengatasi segalanya. Alhamdulillah. Aku hanya membisu.. kerana aku tidak mahu nafsu amarah ini kalah dengan jihad yang sedang kubina atas dasar kasihku pada Allah Yang Maha Satu.

Wallahua'lam..