Pernahkah kita terfikir siapakah yang paling akrab di hati kita sekarang ini? Pernahkah kita bertanya, mengapa setiap kali dirinya terdetik di dalam hati kita, pasti ada satu rasa yang menyelinap yang kita sendiri tidak mampu mentafsirkannya dengan kata-kata? Pernahkah kita tahu puncanya?
Adakala apabila dia berdiam kita sering bertanya mengapa? Siapa tahu dalam hatinya ada seluruh ingatan untuk kita? Siapa tahu setiap langkah yang kita hayunkan ada tulus doa yang dipanjatkannya? Siapa tahu betapa hatinya risau memikirkan keadaan kita hingga ada masa dia lupa untuk memikirkan masalah yang terhidang dalam hidupnya?
Pernahkah kita bertanya siapakah yang benar-benar ada untuk kita? Siapa tahu insan itu adalah dia, yang cuba sedayanya untuk berada di sisi kita. Siapa tahu apa yang dilakukannya bukan kerana ingin memenangi hati kita atau kerana budi yang kita hulurkan tetapi kerana kita adalah sebahagian dari jiwanya? Siapa tahu dia mampu menyayangi diri kita lebih dari hidupnya?
Jika kita menangis pasti dia merasainya. Jika kita terluka pasti pedihnya tetap terasa juga. Siapa tahu jika detik di hati kita berdetik di hatinya. Ya, siapa tahu jika akhirnya, yang bisa menyayangi kita seadanya adalah dia.. Oleh itu, mengapa kita masih leka mempersia apa yang ada?